Zainal Abidin Hassan Ketua Jurulatih Pulau Pinang


Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) hari ini dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Zainal Abidin Hassan, 54, sebagai Ketua Jurulatih pasukan bola sepak Liga Super Pulau Pinang.

Pihak FAP mengalu-alukan kehadiran beliau selaku seorang pemain lagenda yang telah mengharumkan nama negara pada zaman kegemilangan bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.

Sejak memulakan karier dalam bidang kejurulatihan – bermula sebagai pembantu jurulatih pasukan Selangor pada tahun 2000 dan kemudian berhijrah ke Pahang pada tahun 2004 – kejayaan-kejayaan yang beliau capai memang tidak boleh disangkal lagi.

Apabila Liga Super Malaysia diperkenalkan pada 2004, Zainal Abidin yang menjadi ketua jurulatih Pahang telah berjaya membawa pasukan itu menjadi juara pertama. Dua tahun kemudian Pahang menjadi johan Piala FA di bawah kelolaan beliau.

Sewaktu bersama Pahang beliau turut memegang jawatan-jawatan lain termasuk pengurus, pembantu jurulatih dan kembali sebagai ketua jurulatih, sepanjang 2004 – 2015 (kecuali setahun 2009 – 2010 bersama Shahzan Muda FC).

Antara kejayaan lain yang turut dimenanginya untuk Pahang adalah menjadi juara Piala Malaysia 2013, dan johan berganda pada 2014 apabila memenangi kesemua Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pada tahun terakhir 2015 bersama Pahang, beliau selaku ketua jurulatih berjaya membawa pasukan negeri ke suku akhir Piala AFC, separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia, dan mengakhiri Liga Super di tangga kedua.

Selepas menjadi ketua jurulatih Selangor buat seketika pada 2016, beliau bertandang ke UK selama tiga bulan pada akhir tahun lalu untuk menimba pengalaman bersama kelab Liga Championship Inggeris, Cardiff City FC.

Saya selaku Presiden FAP amat gembira dengan kehadiran Zainal Abidin bersama pasukan Pulau Pinang kerana sudah lama memerhatikan karier bola sepak beliau, sebagai pemain lagenda dan sebagai ketua jurulatih yang berpengalaman.

Saya juga yakin para pemain pasukan Pulau Pinang memang mempunyai kemahiran dan kebolehan. Cuma mereka memerlukan panduan motivasi dan inspirasi serta arah tujuan setelah agak kucar-kacir pada awal musim permainan tahun ini.

Dengan kehadiran Zainal Abidin, saya percaya kita telah menemui seorang ketua jurulatih berpengalaman yang mampu memulihkan kembali semangat pemain serta memastikan Pulau Pinang akan kekal dalam Liga Super pada hujung musim ini.

Zairil Khir Johari
Presiden, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang

sumber: Facebook Zairil Khir Johari

You Might Also Like

0 comments:

Post a Comment

Facebook

Twitter