Pahang, Perak & Terengganu City terima hukuman

21.12.17 at 9:40 AM

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2017-2021 pada 20 Disember 2017 (Rabu) telah mencapai keputusan berikut:



1. Persatuan Bolasepak Pahang



Kesalahan: Melanggar Artikel 14 Statut FAM* akibat daripada tindakan enggan atau gagal mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam pertandingan Piala AFC 2018 walaupun telah diarahkan oleh FAM untuk berbuat demikian melalui surat bertarikh 24 November 2017 yang mengarahkan pasukan Pahang melalui Persatuan Bolasepak Pahang untuk membuat pendaftaran menyertai ’AFC Club Competition’ / Piala AFC 2018.

Hal ini kerana pasukan Pahang menduduki tangga ke-2 dalam Liga Super 2017 dan pada masa yang sama telah memohon dan diberikan kelulusan Lesen Kelab AFC adalah layak dan boleh bermain di dalam Piala AFC 2018. Walau bagaimanapun, pasukan Pahang masih enggan atau gagal untuk berbuat demikian sehinggalah tarikh akhir yang diberikan iaitu pada 30 November 2017.

* Artikel 14 Statut FAM - Obligasi Ahli

1. Ahli mempunyai obligasi berikut:

i) Untuk mematuhi sepenuhnya Statut, Peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM pada setiap masa dan untuk memastikan perkara ini juga dipatuhi oleh Ahlinya;

2. Pelanggaran obligasi yang dinyatakan di atas oleh mana-mana Ahli boleh menyebabkan tindakan diambil seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib.

Hukuman: Persatuan Bolasepak Pahang dilarang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun iaitu pada 2018 dan 2019 bagi menyertai 'AFC Club Competition' tahun 2019 dan 2020; serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.



2. Persatuan Bolasepak Perak



Perlawanan: Piala Malaysia 2017 (Separuh Akhir 1), Perak lwn Johor Darul Ta’zim pada 15 Oktober 2017 di Stadium Perak, Ipoh

Kesalahan: Melanggar Artikel 70.1 yang dibaca bersama dengan Artikel 60.1(a) dan Artikel 60.2(a) Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan pertama; Artikel 70.1 yang dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod ini bagi pertuduhan kedua; melanggar Artikel 70.1 yang dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod ini bagi pertuduhan ketiga; dan melanggar Artikel 68 dibaca bersama dengan Artikel 69 dan Artikel 42 Kod ini bagi pertuduhan keempat berkaitan Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton & Penganjuran Perlawanan (Artikel 70 & 68 Kod Tatatertib FAM).

Hukuman: Didenda sebanyak RM15,000 bagi Pertuduhan Pertama; didenda RM10,000 bagi Pertuduhan Kedua; didenda RM15,000 bagi Pertuduhan Ketiga; didenda RM25,000 dan bermain satu perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri bagi Pertuduhan Keempat; serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod ini dimana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran berkait, Jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius sahaja dan, bergantung kepada keadaan boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut.

Justeru, hukuman yang dikenakan bagi pelanggaran-pelanggaran di atas secara keseluruhannya adalah seperti berikut:

i. Didenda sebanyak RM35,000 secara keseluruhan;

ii. bermain 2 perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri (1+1); dan

iii. diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Jawatankuasa ini juga telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod ini di mana hukuman bermain perlawanan tanpa penonton yang kedua seperti yang dinyatakan di atas adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada tiadanya kesalahan yang sama merujuk kepada Artikel 68 Kod ini berulang.

Jika kesalahan yang sama berulang di dalam perlawanan yang melibatkan Pasukan Perak yang seterusnya dalam tempoh satu (1) tahun dari tarikh 20 Disember 2017, maka hukuman bermain tanpa penonton tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap perlawanan yang seterusnya di mana Pasukan Perak adalah pasukan tuan rumah bagi perlawanan tersebut. Keputusan ini boleh dirayu.



3. Pemain Pasukan Terengganu City FC – Mohd Haris Safwan Mohd Kamal



Perlawanan: Piala FAM 2017 (Suku Akhir 2), Felcra FC lwn Terengganu City FC pada 27 September 2017 di Arena UM, Kuala Lumpur

Kesalahan: Melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan menampar Pemain Jersi No. 21 dari Pasukan Felcra FC (Ammar Akhmal Alias).

Hukuman: Penggantungan 3 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik, didenda sebanyak RM1,500 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.



4. Pemain Pasukan Terengganu City FC, Shafuan Adli Shaari



Perlawanan: Piala FAM 2017 (Suku Akhir 2), Felcra FC lwn Terengganu City FC pada 27 September 2017 di Arena UM, Kuala Lumpur

Kesalahan: Melanggar Artikel 51.1(a) dibaca bersama dengan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya yang tidak bersemangat sukan dengan masuk ke padang permainan dan mengejar Pengadil Perlawanan (Abd Rahman Wahab)

Hukuman: Penggantungan 5 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik, didenda sebanyak RM3,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.



5. Pemain Pasukan Terengganu City FC, Syam Shahril Ghulam



Perlawanan: Piala FAM 2017 (Suku Akhir 2), Felcra FC lwn Terengganu City FC pada 27 September 2017 di Arena UM, Kuala Lumpur

Kesalahan: Melanggar Artikel 51.1(a) dibaca bersama dengan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya yang tidak bersemangat sukan dengan masuk ke padang permainan dan mengejar Pengadil Perlawanan (Abd Rahman Wahab)

Hukuman: Penggantungan 5 perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik, didenda sebanyak RM3,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.



6. Jurulatih Penjaga Gol Pasukan Terengganu City FC, Zulkipli Ismail



Perlawanan: Piala FAM 2017 (Suku Akhir 2), Felcra FC lwn Terengganu City FC pada 27 September 2017 di Arena UM, Kuala Lumpur

Kesalahan: Melanggar Artikel 50.1(b) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan mengejar dan menendang Penolong Pengadil 1 (Mohd Khairul Nizam Radzali) di bahagian betis sebelah kaki kiri.

Hukuman: Penggantungan selama 6 bulan (berkuatkuasa serta merta dari 20 Disember 2017 hingga 19 Jun 2018) daripada terlibat di dalam Perlawanan Rasmi dan Tidak Rasmi iaitu Perlawanan Liga Malaysia dan Perlawanan Persahabatan, didenda sebanyak RM5,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.



DATUK BALJIT SINGH SIDHU

PENGERUSI JAWATANKUASA TATATERTIB FAM


sumber: Laman Web FAM

You Might Also Like

0 comments:

Post a Comment

Facebook

Twitter

Google+