Simone Del Nero & Daniel Guiza tinggalkan Johor Darul Takzim

5.4.13 at 11:03 PM

Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Takzim pada hari ini membuat kenyataan bahawa pemain import pasukan Johor Darul Takzim, Daniel Guiza akan meninggalkan pasukan selepas perlawanan suku akhir Piala FA di antara Johor Darul Takzim dan Selangor di Stadium Larkin pada hari Sabtu. Ini selepas seorang lagi pemain import pasukan iaitu Simone Del Nero juga akan membuat penampilan terakhir pada perlawanan yang sama.

Keputusan untuk melepaskan bekas pemain pasukan antarabangsa Sepanyol dan juga bekas pemain Serie A Lazio, diambil selepas membuat penilaian tentang kedudukan pasukan dan juga prestasi kedua-dua pemain setelah tamatnya pusingan pertama Liga Super pada minggu lepas.

Setelah mengharungi 13 perlawanan liga dan pertandingan Piala FA, Guiza telah berjaya menyumbat 8 gol untuk pasukan Johor Darul Takzim sekaligus membantu pasukan berada di tangga ke 3 Liga Super dan juga peringkat suku akhir Piala FA.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor, YB Dato’ Haji Obet Tawil berkata, “Tidak dinafikan bahawa kedua-dua pemain, Daniel Guiza dan Simone merupakan pemain bertaraf antarabangsa yang telah banyak membantu pasukan berada di kedudukan sekarang tetapi keputusan ini terpaksa diambil kerana kontrak pinjaman Guiza berakhir pada bulan Ogos bersama kelab beliau, Getafe CF dan ini tidak membolehkan beliau beraksi untuk pasukan pada pertandingan Piala Malaysia Ogos nanti. Simone pula masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan yang tidak membolehkan beliau memberi persembahan terbaik beliau untuk pasukan.

Belaiu juga menambah, “Memandangkan tingkap perpindahan pemain akan hanya dibuka pada 8hb April ini, pihak pengurusan mengambil keputusan melepaskan kedua-dua pemain disamping mencari pemain pengganti yang berkaliber untuk menggantikan kedua-dua pemain dalam pasukan. Pemain tengah pasukan Johor dalam liga Premier, Andre Francisco Rocha Da Silva telah dikenal pasti untuk mengambil alih tempat Simone Del Nero manakala beberapa pemain lain sedang diuji jurulatih pasukan, Fandi Ahmad untuk menggantikan tempat Daniel Guiza. Tiga pemain telah disenarai pendek dan pihak pengurusan akan membuat pengumuman pada masa terdekat kelak. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dani dan juga Simone atas jasa mereka kepada pasukan dan peminat Johor juga telah menerima kedua-dua pemain tersebut sebagai ahli keluarga pasukan Johor Darl Takzim. Saya akan pastikan bahawa pengganti Daniel Guiza dan Simone Del Nero akan mempamerkan mutu persembahan yang lebih baik dan cemerlang berbanding dengan pemain-pemain impot sebelum ini dalam untuk memastikan visi transformasi pasukan Johor Darul Takzim akan tercapai”

Semua penyokong pasukan Johor Darul Takzim diharap dapat membanjiri Stadium Larkin pada hari Sabtu ketika JDT menentang Selangor pada persaingan Piala FA untuk memberi sambutan terakhir kepada kedua-dua pemain.

sumber: Facebook Johor Fan Club

You Might Also Like

0 comments:

Post a Comment

Facebook

Twitter

Google+